Fenomena korporat
mistik abad ke-21
Oleh: SHAHROM TM
SULAIMAN
DR. GAY HENDRICKS dan Dr. Kate
Goodeman dalam buku The Corporate Mystics (1996) (Mistik Korporat) meramalkan,
``Pasaran global dalam abad 21 akan menyaksikan orang-orang mistik atau sufi di
perusahaan-perusahaan besar atau organisasi-organisasi moden, dan bukan di
biara, kuil, gereja atau masjid.
Ini jelas menunjukkan suatu episod
baru. Episod zaman baru yang ditandai dengan titik balik radikal dari
pertumbuhan material atau materialistik-sekularistik ke arah pertumbuhan
kerohanian, dari pertumbuhan ekonomi dan teknologi ke arah pertumbuhan dan
perkembangan mistik, dan dari pemujaan pada perusahaan berserta `korporat
raksasa besar' ke arah pengertian baru yang jauh lebih mengesankan, seperti ungkapan
``kecil itu indah''.
Ia semakin bermakna lagi kerana dalam
abad 21 juga menyaksikan perkembangan tercanggih dalam revolusi teknologi
maklumat dan komunikasi. Mungkin ada benarnya semakin canggih zaman itu,
semakin dahaga manusia pada `kecanggihan' kerohanian.
Korporat mistik adalah sebahagian
daripada arus utama zaman ini. Kehadirannya semakin menegaskan bahawa
nilai-nilai mistik-spiritul dewasa ini sudah menjadi arahan atau rujukan dalam
menjalankan roda perniagaan dalam skala besar.
Ramalan Hendricks dan Goodeman
ternyata benar apabila melihat beberapa kes yang terjadi. Mark Moody, pemimpin
kanan Syarikat Shell, salah satu perusahaan minyak terbesar dunia, seperti
dilaporkan oleh Asia Inc. (keluaran 1999), memutuskan untuk memanggil seorang
pendeta Buddha untuk memberikan terapi kerohanian kepada 550 eksekutif
perusahaan dan juga untuk membangun paradigma baru yang lebih canggih dan
menguntungkan.
Perusahaan komputer Apple pula turut
terlibat dalam ghairah baru perusahaan mistik ini. Dalam salah satu produk
iklannya, ia mengangkat Dalai Lama (pemimpin kerohanian Tibet) sebagai bintang
dengan slogan `berfikir berbeza.'
Dengan menampilkan pemimpin Buddha
dari Tibet dan slogan tersebut, Apple ingin membangun sebuah imej baru bagi
produk komputer Apple, iaitu berbeza dengan komputer lain, ia tidak hanya
menampilkan kecanggihan teknologi tetapi juga kearifan dan keseimbangan dalam
material dan kerohanian, kesihatan mental dan fizikal, menawarkan kebijaksanaan
dan amat peduli pada lingkungan hidup di samping menawarkan keunggulan teknik
mesin.
Sebenarnya Hendricks dan Goodeman
telah melakukan penyelidikan lebih dari 25 tahun dan percaya pemimpin korporat
yang berjaya pada abad 21 adalah pemimpin kerohanian. Kebanyakan pemimpin
berjaya sudah bersiap sedia untuk mempelajari rahsia ini.
Misalnya, Naib Presiden Antarabangsa
Motorola, Janiece Webb menyarankan agar seluruh pemimpin global di dunia
industri, membaca rahsia kejayaan dalam The Corporate Mystics. Jauh sebelum
buku Hendricks dan Goodeman diterbitkan, Time Domestic (keluaran bil. 144, no
12, Sept. 19, 1994) menulis sebuah artikel tentang The Zen of Golf. Dalam
laporan itu, disebutkan bahawa Dr. M. Scott Peck, seorang guru kerohanian di
kalangan pengurus `kelas atasan' dan penulis buku terlaris The Road Less
Travelled, yang berada dalam daftar terlaris The New York Times selama 566
minggu telah membiayai pertandingan golf yang mempromosikan tema kerohanian,
golf dan seni halus pengurusan perniagaan.
Sebetulnya, sudah ada beberapa buah
buku ditulis dengan tujuan memberi ``kebijaksanaan'' bagi para pengurus dan
eksekutif untuk memasuki era korporat mistik.
Antaranya adalah: 101 Corporate Haiku
oleh William Warriner, Prophet of Management karya Mary Parker Follet, Manager
and Mantras karangan Charlotte Butler dan John Keary.
Kenapa tiba-tiba fenomena korporat
mistik ini muncul secara ekspresif? Dalam memutuskan sesuatu dan meramalkan
usaha, manusia sering bersandar pada pemikiran nara sumber yang matang,
menggunakan nalar yang rasional, serta data dan angka-angka yang tepat.
Logiknya, segala asumsi dan ramalan yang berdasarkan pelbagai ukuran rasional
itu akan menjadi kenyataan. Namun acapkali perputaran dunia berada di luar
rumusan angka-angka atau matematik, misalnya, modernisme; dulunya dianggap
sebagai alternatif terbaik bagi kebahagiaan manusia ternyata pada realitinya
melahirkan manusia yang cacat rohani.
Apakah sebenarnya korporat mistik?
Hendricks dan Goodeman menyatakan korporat mistik mendasarkan diri pada
integriti, hasrat dan kecintaan bahkan pada nilai-nilai mistik-spiritul.
Ketika kita membicarakan kerohanian
dalam dunia perniagaan, maka kita sebenarnya sedang membicarakan pada aspek
pengalaman, dan tidak pada keyakinan keagamaannya.
Korporat mistik cuba bereksperimen
dengan mudah antara dunia kerohanian dan dunia perniagaan. Di sinilah
nilai-nilai dalaman mistik-spiritul melebur dalam dunia perniagaan.
Korporat mistik mengamalkan 12
ciri-ciri penting bagi pemimpin yang berjaya dalam abad 21 dalam dunia
perniagaan dan pengurusan, yang justeru diperkenalkan dan bahkan seluruhnya
bersumber daripada nilai-nilai mistik-spiritul itu sendiri.
Sebahagian di antaranya adalah:
Pertama, mutlak jujur. Kata kunci
untuk berjaya dalam dunia perniagaan, selain berkata benar dan konsisten akan
kebenaran itu, yang tidak kalah pentingnya adalah mutlak bersikap jujur.
Kedua, keterbukaan. Keterbukaan tidak
saja dianggap mutlak, tetapi sudah melangkaui tuntutan moral. Keterbukaan
bahkan diibaratkan sudah menjadi `hukum alam'.
Maka logiknya, ``Jika saya bertindak
tidak adil, maka saya dengan sendirinya mengganggu `roda' bekerjanya dunia
ini.''
Ketiga, pengetahuan diri. Korporat
mistik sangat menaruh perhatian pada terciptanya masyarakat pembelajaran dalam
dunia perniagaan.
Kerana itu belajar sendiri menjadi
elemen utama dan sangat diperlukan dalam kejayaan sesuatu perniagaan.
Keempat, fokus dalam sumbangan. Dalam
hukum perniagaan, barangkali lebih mengutamakan memberi daripada menerima. Ini
penting dengan melihat kecenderungan manusia untuk menuntut hak sungguhpun
kewajipan, dan menuntut penerimaan walaupun pemberian. Korporat mistik
membangun kesedaran diri untuk lebih terfokus dalam hal sumbangan.
Kelima, kerohanian tidak dogmatik .
Ini menjadi nilai intrinsik manusia dan dasar keabadian atas nilai kejujuran,
keterbukaan, pengetahuan diri, dan fokus dalam sumbangan. Inilah yang
dimaksudkan dalam korporat mistik menjadi nilai kerohanian yang universal dan
tidak dogmatik.
Keenam, keseimbangan. Korporat mistik
sangat menekankan keseimbangan hidup dalam empat domain utama, keakraban,
termasuk dalam perkahwinan, keluarga, persahabatan, kerja, kerohanian dan
masyarakat (termasuk kehidupan sosial dan politik). Dr. Stephen Covey, penulis
tersohor The Seven Habits of Highly Effective People sangat menekankan
keseimbangan untuk meraih kejayaan, keseimbangan antara logikal-rasional dan
emosi, antara rumah dan dunia kerja, antara masa depan dan masa sekarang.
RENCANA
Utusan Malaysia 07 April 2001
Geen opmerkings nie:
Plaas 'n opmerking